Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan pelantikan Ramssol Group Bhd. melalui anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn. Bhd. sebagai ejen kutipan rasmi  tidak berpunca daripada kekurangan tenaga kerja dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perkara itu dijelaskan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Muttalib (PN–Maran) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Menurut beliau, dakwaan JPJ berdepan kekurangan tenaga kerja adalah tidak berbangkit kerana operasi teras jabatan tersebut masih dikendalikan sepenuhnya oleh JPJ.

“Dakwaan JPJ kekurangan tenaga kerja tidak berbangkit kerana semua saluran pembayaran JPJ termasuk di kaunter JPJ, kiosk JPJ, aplikasi MyJPJ dan portal MySIKAP masih dikendalikan oleh JPJ,” jelasnya.

Sebelum ini, Ramssol Group Bhd. melalui Rider Gate Sdn. Bhd. dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh JPJ bagi menyediakan perkhidmatan tambahan kepada pengguna.

Melalui portal aplikasi Rider Gate, orang ramai boleh mengakses platform perkhidmatan digital sepenuhnya yang disifatkan lebih mudah dan selamat untuk transaksi berkaitan JPJ.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik serta urusan pindah milik kenderaan dengan caj nominal dikenakan bagi setiap transaksi.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pelantikan ejen kutipan dibuat semata-mata bagi menyediakan pilihan tambahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan urus niaga JPJ.

“Ejen kutipan pula bertujuan berfungsi sebagai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan urus niaga JPJ di platform tambahan,” katanya.

Beliau menjelaskan, platform tambahan itu merangkumi perkhidmatan secara fizikal dan dalam talian bagi memudahkan akses orang awam termasuk di pejabat pos melalui Pos Malaysia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) melalui Puspakom.

Selain itu, perkhidmatan dalam talian turut disediakan menerusi beberapa platform digital sedia ada seperti Portal MyEG, platform jual beli kereta Carsome dan platform jual beli motosikal Rider Gate.

Anthony menegaskan, pendekatan tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemudahan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa menjejaskan peranan teras JPJ sebagai agensi penguat kuasa dan pentadbir utama urusan pengangkutan jalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast