Nahas tiga kenderaan masing-masing lori treler, lori bonded dan bas ekspres di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

HULU SELANGOR – Seorang pemandu bas meninggal dunia, dua lagi parah manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 433, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.12 pagi.

Seramai 16 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta dibantu BBP Rawang digerakkan ke lokasi kejadian selepas 11 minit menerima panggilan.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres Scania, sebuah lori bonded 10 tan dan sebuah lori treler.

“Seorang pemandu lori bonded syarikat keselamatan yang tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Manakala seorang kelindan lori bonded sama mengalami kepatahan pada tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Mukhlis, seorang pemandu bas ekspres mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kiri kerana tersepit akibat kemalangan itu.

“Tiga penumpang mengalami kecederaan ringan di mana majoriti pada bahagian kaki dan badan manakala seorang kanak-kanak perempuan mengalami pendarahan keluar dari hidung dan dia dalam keadaan sedar. Kesemua mangsa bas diserah kepada ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya.

Seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori treler mengalami kecederaan pada belakang tengkuk serta kini dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast