Gambar hiasan

MUSCAT – Menteri Luar Iran Abbas Araghchi tiba di Muscat, ibu negara Oman, bagi menyertai rundingan nuklear dengan delegasi Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Araghchi tiba di Lapangan Terbang Muscat awal pagi Jumaat dan disambut oleh pegawai Oman. Beliau diiringi Majid Takht-Ravanchi Timbalan Hal Ehwal Politik; Esmaeil Baghaei jurucakap Kementerian Luar; Hamid Ghanbari Timbalan Hal Ehwal Ekonomi; serta beberapa diplomat Iran lain.

Menurut pengumuman Araghchi, pusingan baharu rundingan nuklear antara Iran dan AS akan berlangsung pada Jumaat pagi di Muscat.

Pegawai AS memaklumkan yang Steve Witkoff, Utusan Khas Presiden AS bagi Timur Tengah dan Jared Kushner menantu Donald Trump serta bekas pembantu presiden, akan mewakili AS dalam rundingan dengan Iran. Witkoff tiba di Muscat beberapa jam sebelum delegasi Iran.

Pusingan rundingan berlangsung di tengah-tengah peningkatan kehadiran tentera AS di rantau itu serta pelbagai ancaman dan dakwaan terhadap Iran yang mengancam keselamatan serantau.

Iran memasuki rundingan dengan mengambil kira pengalaman pahit lima pusingan rundingan sebelum ini dengan Washington, yang akhirnya terganggu akibat serangan tentera Israel dan AS ke atas fasiliti nuklear Iran. Justeru, kepercayaan menjadi cabaran terbesar Iran dalam pusingan rundingan kali ini.

Rundingan itu menjadi tumpuan spekulasi hangat sepanjang minggu lalu dan pada beberapa ketika dilaporkan hampir dibatalkan.

— BERNAMA-IRNA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast