Gunung Fuji. foto dari FB Ditour Japan

TOKYO – Pihak berkuasa Jepun di bandar Fujiyoshida yang terletak berhampiran Gunung Fuji telah membatalkan festival bunga sakura tahun ini, dengan menyatakan lonjakan jumlah pelancong tidak lagi dapat dikendalikan oleh penduduk tempatan.

Kemasukan pelancong yang besar ke bandar Fujiyoshida telah menyebabkan kesesakan lalu lintas kronik dan masalah sampah.

Sebahagian penduduk juga mendakwa mereka terpaksa berdepan dengan kejadian pelancong menceroboh atau membuang air besar di halaman rumah persendirian.

Kawasan itu merupakan destinasi popular pada musim bunga kerana pokok sakura Jepun yang terkenal di dunia sedang mekar sepenuhnya, dan dapat dinikmati dengan latar belakang Gunung Fuji.

Namun, pemandangan indah Fujiyoshida kini mengancam “kehidupan tenang para penduduk,” jelas Datuk Bandar bandar itu, sambil menyifatkan ia adalah “krisis yang kuat”.

“Untuk melindungi kesejahteraan dan persekitaran kehidupan rakyat, kami telah memutuskan untuk menamatkan festival yang telah berlangsung selama 10 tahun ini,” kata Datuk Bandar Fujiyoshida, Shigeru Horiuchi.

Pada April 2016, pihak berkuasa mengumumkan pembukaan Taman Arakurayama Sengen bagi menerima pelancong semasa musim sakura (bunga ceri).

Taman itu menawarkan pemandangan panorama bandar dari pagodanya, dengan beberapa lokasi yang menarik untuk bergambar dan bersifat “Instagrammable”.

Pihak berkuasa Fujiyoshida mula menganjurkan acara tahunan itu di Taman Arakurayama Sengen dengan harapan untuk meningkatkan daya tarikan kawasan tersebut serta menambah jumlah pelawat dengan mewujudkan “suasana yang meriah di kawasan itu”.

Namun, pihak berkuasa berkata, jumlah pelawat dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah “meningkat secara mendadak, melebihi kapasiti bandar dan mengakibatkan pelancongan berlebihan, sekali gus memberi kesan serius terhadap persekitaran kehidupan penduduk tempatan”.

Kini, sehingga 10,000 pelawat dilaporkan membanjiri bandar itu setiap hari semasa kemuncak musim bunga sakura, menurut kenyataan pihak berkuasa Fujiyoshida.

Peningkatan ini adalah “disebabkan faktor seperti kejatuhan nilai yen dan populariti melampau yang dipacu oleh media sosial”.

Pihak berkuasa bandar turut melaporkan, ada pelancong “membuka pintu rumah persendirian tanpa kebenaran untuk menggunakan tandas,” menceroboh, membuang sampah, serta “membuang air besar di halaman rumah persendirian dan bertindak kasar apabila ditegur oleh penduduk”.

Walaupun festival itu tidak akan diteruskan, bandar tersebut tetap membuat persiapan bagi menghadapi peningkatan jumlah pelawat sepanjang April dan Mei nanti.

Ini bukan kali pertama pihak berkuasa Jepun terpaksa mengambil langkah untuk menangani pelancong yang ghairah mengambil gambar.

Pada 2024, pegawai menutup salah satu lokasi bergambar paling ikonik di Jepun di Fujikawaguchiko dengan penghadang hitam besar bagi menghalang tingkah laku pelancong yang tidak berdisiplin.

Penduduk Fujikawaguchiko sebelum ini menuduh pelancong asing membuang sampah dan meletakkan kenderaan secara haram ketika mencari sudut terbaik untuk bergambar. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast