KUALA LUMPUR – Lantikan kontraktor oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dibuat menerusi penilaian tender yang turut melibatkan rekod prestasi terdahulu, keupayaan teknikal dan kedudukan kewangan pemohon.
Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejayaan pelaksanaan projek terdahulu turut dinilai bagi memastikan kontraktor dilantik mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek yang diberikan.
“Pihak JKR juga melaksanakan semakan tadbir urus dalaman bagi memperkukuh kawalan dan penilaian risiko supaya kontraktor yang dilantik kelak benar-benar berkeupayaan serta bertanggungjawab.
“Semua proses perolehan kerajaan tertakluk sepenuhnya kepada peraturan dan garis panduan Kementerian Kewangan,” katanya ketika menyampaikan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Terdahulu, ada Ahli Parlimen yang membangkitkan isu mengenai lantikan kontraktor yang didakwa berkemungkinan membabitkan individu yang sama melalui syarikat berlainan.
Menjawab isu itu, Alexander menegaskan, KKR tidak akan melindungi mana-mana kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab tender projek yang diberikan.
Terdahulu katanya, KKR memperuntukkan RM300 juta di bawah Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera G1-G4 yang membabitkan 758 kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan, iaitu 81 kerja berkala pavemen dan 677 kerja berkala bukan pavemen.
“Terdapat peningkatan bilangan kerja dari 2025 ke 2026, iaitu kenaikan 112 kerja, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan peluang pembabitan kerja kepada kontraktor, terutamanya kelas G1 dan G2,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















