KUALA LUMPUR – Lepasan tahfiz Darul Quran tidak terhad kepada bidang keagamaan semata-mata, tetapi turut menyumbang dalam sektor profesional seperti kejuruteraan, pendidikan, pentadbiran dan bidang strategik negara yang lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menjelaskan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) demi memperkukuhkan kemampuan Darul Quran.
Antara program yang dilaksanakan adalah kolaborasi strategik dengan universiti awam dan institusi pengajian tinggi Islam yang diiktiraf.
“Pendekatan ini membolehkan lepasan Darul Quran melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan pascasiswazah tanpa menjejaskan identiti teras Darul Quran sebagai institusi tahfiz.
“Kerajaan berpandangan bahawa pendekatan kolaboratif ini
adalah lebih pragmatik, berfasa dan berimpak, selari dengan
aspirasi pembangunan pendidikan Islam negara serta
memastikan kualiti para pelajar terus terpelihara,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (Pas) di Dewan Rakyat hari ini.
Marhamah berkata, sejak tahun 2000 Darul Quran telah melaksanakan Program Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim–Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ujarnya, program itu membolehkan lepasan tahfiz yang memenuhi syarat melanjutkan pengajian di universiti itu dalam pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.
Terdahulu katanya, sehingga tahun 2024 seramai 2,403 orang graduan lepasan Darul Quran telah direkodkan melanjutkan pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS dalam pelbagai bidang, melibatkan peringkat diploma dan ijazah.
Dalam pada itu, Marhamah berkata, Darul Quran akan kekal berada di bawah seliaan Jakim bagi memastikan ia terus menjadi institusi tahfiz kebangsaan yang khusus, berfokus, erautoriti, serta mampu memenuhi keperluan semasa.
Terdahulu, Ahmad Fadhli bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menaik taraf Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Bharu itu sebagai universiti yang menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran.-MalaysiaGazette
















