Azam Baki

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi  mempersoalkan laporan media berhubung dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu perlu dijelaskan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam serta integriti pegawai kanan penguat kuasa negara.

“Media melaporkan Tan Sri Azam Baki memiliki saham di sebuah syarikat Velocity Capital Bhd yang tersenarai di Bursa Saham. Saham itu dikatakan bernilai RM800K,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mempersoalkan kesahihan laporan berkenaan serta sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan penjawat awam.

“Apakah benar? Apakah ia memang dibenarkan di bawah peraturan penjawat awam? Ini bukan kali pertama Azam Baki terlibat dalam kontroversi pemilikan saham,” katanya.

Menurut beliau, isu berkenaan tidak wajar dibiarkan berlarutan tanpa penjelasan daripada pihak berkaitan dan perlu ditangani secara telus.

“Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh tangguh. Semoga ia dibangkitkan dalam Parlimen.

“Ia isu kepentingan awam. Jangan sapu bawah karpet.

Media hari ini melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat, sekali gus menjadi pendedahan awam pertama mengenai pegangan besar atas namanya sejak kontroversi pemilikan saham beberapa tahun lalu.

Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan tahunan syarikat itu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan hari ini. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast