Ahmad Rosli Mohd Sham

GENTING HIGHLANDS – Sepanjang 16 tahun hingga 2025 sebanyak 1,760 kes berkaitan rasuah diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan 136 kes lagi disemak semula.

Menurut Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, kes yang diputuskan NFA boleh disemak semula dan bagi tujuan tindakan lanjut iaitu pendakwaan semula.

Bagaimanapun, kes tersebut perlu berlandaskan kepada faktor kukuh, antaranya boleh didakwa di bawah kesalahan-kesalahan lain, selain berkaitan rasuah.

“Penilaian dibuat dari beberapa sudut. Pertama, sama ada terdapat kelemahan dalam siasatan yang perlu diperbaiki.

“Jika ada, PPO akan memberikan nasihat tentang cara penambahbaikan, termasuk menyiasat dari sudut lain yang mungkin tidak diambil kira sebelum ini.

“Ada juga keadaan di mana siasatan tidak menimbulkan kesalahan rasuah, namun berkemungkinan wujud kesalahan lain.

“Perkara ini banyak bergantung kepada keupayaan dan kemampuan pegawai penyiasat serta maklumat yang diperoleh,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan dan Usaha Memerangi Rasuah.

Ahmad Rosli merupakan antara panel penceramah pada Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan dan Usaha Memerangi Rasuah yang dianjurkan SPRM.

Terdahulu, beliau menjelaskan, antara fungsi PPO adalah menilai kes-kes NFA di bawah SPRM yang tidak berakhir dengan pendakwaan.

Ahmad Rosli menambah, PPO turut memantau, meneliti dan menilai kes-kes siasatan rasuah secara bebas bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan tindakan yang diambil.

Mengulas lanjut beliau berkata, SPRM sentiasa terbuka menerima pandangan dan teguran daripada PPO demi memperkukuh kualiti siasatan serta tindakan agensi itu.

“SPRM tidak bersikap defensif. Mereka mengambil kira pandangan yang diberikan. Antara komen yang sering dibangkitkan ialah keperluan meningkatkan keupayaan pegawai dalam aspek siasatan,” katanya.

Walaupun PPO tidak menetapkan sasaran khusus terhadap pencapaian siasatan SPRM, beliau memaklumkan pihaknya setakat ini berpuas hati dengan prestasi siasatan dan pendakwaan yang dilaksanakan.

“Jarang sekali ahli PPO mempertikaikan pencapaian sasaran kerana kebanyakannya berjaya dicapai. Jika ada yang tidak, PPO akan meminta penjelasan. Setakat ini, kami tidak mendapati sebarang unsur sengaja melengah-lengahkan tindakan atau siasatan.

“Kami juga tidak menemui kejadian siasatan dilewatkan, tempoh reman terlalu lama atau kes tidak diteruskan tanpa alasan yang jelas,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast