GENTING – Pengaruh media sosial merupakan cabaran paling besar yang dihadapi oleh Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa kini.
Jelas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, media sosial menyebabkan sebarang dakwaan, tuduhan dan persepsi disebarkan dengan pantas, tanpa semakan dan tanpa menunggu proses siasatan disempurnakan.
Menurut beliau, situasi tersebut mengakibatlan agensi siasatan itu dihakimi di media sosial.
“Dalam banyak keadaan, kes masih dalam siasatan, bukti sedang dikumpulkan, namun SPRM telah pun dihakimi di mahkamah media sosial.
“Lebih membimbangkan, ruangan komen sering dimanipulasi oleh kumpulan tertentu yang diwujudkan secara terancang untuk menyemai kebencian dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan itu.
Tambah Ahmad Khusairi, SPRM juga sering berdepan dengan persepsi apabila mengambil tindakan dengan pantas atau sebaliknya.
Hakikatnya beliau menegaskan, agensi siasatan berkenaan bertindak berasaskan bukti, peruntukan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan.
“Namun apabila SPRM mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang, kami pula dilabel sebagai bertindak secara terpilih atau menjadi alat politik.
“Semua tindakan ini bukan berdasarkan tekanan media sosial, bukan kerana sentimen awam dan bukan juga kerana kepentingan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut katanya lagi, laporan berita yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja memberi kesan negatif kepada imej dan reputasi SPRM malah berisiko menjejaskan siasatan, mengganggu proses keadilan serta memberi implikasi kepada keselamatan pegawai serta saksi.
“Kita juga tidak boleh menafikan kewujudan portal-portal media yang jelas berpaksikan kepada agenda politik tertentu.Portal-portal ini cenderung melaporkan isu dan tindakan SPRM yang kononnya bersifat selektif dan negatif apabila ia tidak selari dengan kepentingan atau matlamat politik mereka.
“Akibatnya, persepsi awam dibentuk bukan berdasarkan fakta dan kebenaran, tetapi berdasarkan naratif politik,” katanya.

Terdahulu, seramai 20 pengamal media menyertai Bengkel Kewartawanan yang bertajuk Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah.
Bengkel berlangsung selama tiga hari dua malam itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemberita mengenai struktur, fungsi serta mekanisme semak dan imbang di dalam SPRM.
Pengamal media turut diberikan maklumat mengenai proses siasatan, pengendalian kertas siasatan dan program pencegahan yang dijalankan.- MalaysiaGazette
















