GEORGE TOWN – Tiga individu terselamat selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang yang merentangi jalan dalam kejadian di Jalan Mount Erskine di sini tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 12.35 tengah malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba dapati sebatang pokok tumbang dan telah menghempap dua kereta iaitu Perodua Viva dan Perodua Bezza.
“Dua mangsa yang menaiki Perodua Viva serta seorang lagi yang memandu Perodua Bezza berjaya keluar sendiri dari kenderaan masing-masing dalam keadaan selamat sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan penyelamat dengan memakai pakaian pelindung diri lengkap (PPE) kemudian memotong pokok menggunakan peralatan khas bagi memastikan ia tidak menjadi halangan,” katanya hari ini.
Tambah beliau, operasi yang tamat jam 3.29 pagi tadi itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). – MalaysiaGazette
















