NIBONG TEBAL – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya melanggar belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 167 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan menghala utara hari ini.
Dalam kejadian 3.43 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang memandu kereta Perodua Axia dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal tiba di lokasi pukul 3.57 pagi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan.

“Komander operasi melakukan penilaian situasi dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum memberikan rawatan awal kepada mangsa.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 4.19 pagi. – MalaysiaGazette
















