GEORGE TOWN – Pasukan Bomba dan Penyelamat Bayan Baru masih bersedih selepas kehilangan Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, yang ditemui lemas di Pantai Kandis, Bachok, Kelantan, semalam.
Ahmad Badrul, lebih mesra dipanggil ‘Bad’, dikenang sebagai rakan setugas yang ceria, aktif, dan sentiasa menghiburkan pasukan.
Menurut penyelianya, Pegawai Bomba Kanan I, Abdul Manaf Kadir berkata, kehilangan arwah memberi kesan mendalam kepada rakan-rakannya.
“Bad selalu buat lawak, walaupun ketika bekerja. Kehilangannya satu kehilangan besar. Kami semua terkejut kerana pertemuan terakhir kami dengannya pada Ahad lalu ternyata yang terakhir.
“Sepanjang mengikuti kursus selama tiga hari sehingga 15 Februari lalu, arwah tetap ceria dan mesra.
“Bad seorang sahabat yang sukar digantikan dan sentiasa membawa semangat positif dalam pasukan STORM dan Hazmat,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota bomba yang lemas semasa menyelamatkan adiknya di Pantai Kandis di sini semalam dijumpai selepas hampir 20 jam hilang dihanyut ombak.
Mayat mangsa dijumpai kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa lemas. Bagaimanapun, adik mangsa, Ahmad Nurudin, 21, sehingga kini masih belum ditemui.
Terdahulu Ahmad Badrul dan adiknya dilaporkan hilang di laut selepas mahu menyelamat anak saudara mereka, Mohd Ali Al Imran Mohd Ezad, 12, yang dihanyutkan ombak.
Kanak-kanak tersebut akhirnya berjaya diselamatkan oleh bapanya dan naik ke darat manakala Ahmad Badrul dan adiknya dihanyutkan ombak hingga ke tengah laut. – MalaysiaGazette
















