Logo Polis Diraja Malaysia

SEKINCHAN – Seorang nelayan tempatan berumur 75 tahun direman tiga hari sehingga Selasa depan selepas disyaki melibas seorang pengurus restoran dengan rantai besi di hadapan sebuah kedai di Jalan Yoke Kuan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian itu berlaku dipercayai selepas suspek yang  menunggang motosikal melanggar kereta mangsa.

“Semasa mangsa turun dari kereta, tiba-tiba suspek melibas pengadu mangsa dengan rantai besi sepanjang 75 sentimeter (cm) yang dibawa suspek di dalam raga motosikal jam 4.10 petang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Yusof, mangsa yang berusia 24 tahun kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam sejurus kejadian tersebut.

“Polis kemudiannya menangkap lelaki berketurunan Indonesia itu di hadapan Bazar MARA Sekinchan di Jalan Yoke Kuan, jam 4.30 petang sejurus menerima laporan daripada lelaki terbabit,” katanya.

Terdahulu, Yusof menerusi kenyataan mengesahkan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 75 tahun selepas disyaki mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan perbuatan khianat di pekan Sekinchan.

Susulan tangkapan itu, polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324/ 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman tersebut.

Manakala hukuman di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua,” katanya.

Yusof berkata, warga emas terbabit mempunyai tiga rekod lampau di bawah Seksyen 504, 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Ditanya tentang tuduhan suspek mendatangkan kecederaan dengan senjata dan perbuatan khianat, beliau berkata, perbuatan dirakam saksi di tempat kejadian.

“Ada rakaman oleh saksi semasa suspek melibas pengadu dan kereta pengadu dengan rantai besi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast