KUALA LUMPUR – Ketagihan air ketum menyebabkan seorang pemuda di Bayan Lepas, Pulau Pinang bertindak di luar kewarasan apabila mengumpul air kencingnya di dalam botol minuman sehingga memenuhi ruang biliknya.
Pemuda berkenaan bertindak sedemikian meskipun tandas hanya berada beberapa langkah dari biliknya.
Perkara itu dikongsikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menerusi laman sosial Facebook hari ini yang memaklumkan pemuda berkenaan ketagihan air ketum sejak hampir setahun lalu.
Menurutnya, daripada hanya mahu mencuba, pemuda berkenaan akhirnya ketagihan sehingga hilang arah hidup apabila tidak bekerja dan bertindak agresif apabila tidak mendapat wang membeli air ketum.
“Inilah sisi gelap penagihan ketum yang jarang dipaparkan.
“Ketum bukan sekadar air daun. Ia mampu merosakkan akal, maruah dan hubungan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, AADK Pulau Pinang berkongsi pesanan supaya mereka yang terjebak meminum air ketum tidak menunggu sehingga hilang arah hidup untuk mula berubah.
Katanya, ketagihan air ketum juga tidak mengenal umur, pekerjaan atau latar belakang.
“Jika anda mengenali individu yang memerlukan bantuan, hulurkan sokongan bukan kecaman,” katanya. – MalaysiaGazette
















