Hasil pemeriksaan imbasan badan mendapati terdapat objek mencurigakan dipercayai dadah di dalam abdomen.

KUALA LUMPUR – Cubaan seorang lelaki warga Tanzania menyeludup masuk dadah ke negara ini terbongkar selepas  ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Januari lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, suspek dipercayai menggunakan kaedah menelan kapsul berisi dadah berbahaya untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan pasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) LTAKL bersama Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP 1) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Terminal 1.

“Hasil pemeriksaan imbasan badan mendapati terdapat objek mencurigakan dipercayai dadah di dalam abdomen suspek sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan kemudian menemukan sebanyak 101 kapsul yang dibalut plastik lutsinar dikeluarkan daripada badan suspek,” katanya dalam kenyataan.

“Kapsul berkenaan mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan anggaran berat keseluruhan 1,629.20 gram bernilai kira-kira RM733,140.

“Suspek telah dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast