KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan kesan terhadap negara susulan konflik di Asia Barat, khususnya sekiranya perang itu berkemungkinan berlanjutan berbulan-bulan lamanya.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, sidang itu amat kritikal bagi memberi ruang kepada kerajaan membentangkan pelan persediaan komprehensif, merangkumi aspek sekuriti tenaga, kestabilan harga barang dan jaminan bekalan makanan buat rakyat.
Beliau berpandangan, Ahli-ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk membahaskan isu tersebut secara terperinci.
Jelasnya, rakyat berhak mengetahui inisiatif kecemasan Kerajaan Persekutuan sekiranya harga minyak mentah dunia melonjak ke paras yang luar biasa atau sekiranya laluan perdagangan utama terganggu.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat marhaen terus dibayangi keresahan tanpa hala tuju yang jelas daripada cabang Eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhammad Ismi, beberapa negara lain sudah mengambil tindakan pantas dan mula merangka strategi luar jangka dalam mendepani konflik tersebut.
Antaranya, kata beliau, Indonesia yang mana kerajaan negara itu telah mula mengkaji langkah-langkah drastik bagi mengurangkan penggunaan bahan api nasional untuk menyelamatkan bajet negara.
Selain itu, ujarnya, kerajaan Filipina dan Eropah kini juga giat menyusun semula struktur penggunaan tenaga dan kos logistik demi memastikan ekonomi domestik tidak lumpuh akibat kejutan harga minyak dunia.
Sementara itu, jelasnya, di peringkat kawasan Parit sendiri, beliau mendengar keluhan para petani dan peniaga kecil yang sudah mula bimbang akan kenaikan kos input pertanian dan pengangkutan.
“Jika konflik ini berterusan, bebanan yang ditanggung oleh rakyat di peringkat akar umbi akan menjadi semakin tidak tertanggung.
“Oleh itu, janganlah kita menunggu sehingga krisis ini meletus ke tahap yang tidak terkawal baru mahu bertindak,” katanya.
Tambahnya, Parlimen adalah platform terbaik untuk semua pihak menggembleng idea dan memastikan kerajaan mempunyai persediaan yang rapi dan telus demi kelangsungan hidup rakyat. – MalaysiaGazette
















