KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini diseru agar tidak alpa dengan isu kepimpinan ketika menyambut Aidilfitri kerana hanya kepimpinan berintegriti dan berprinsip mampu mempertahankan kedaulatan negara daripada pengaruh kuasa luar.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, Aidilfitri yang disambut selepas sebulan menjalani ibadah Ramadan seharusnya menjadi titik kemenangan untuk kembali kepada fitrah disamping menginsafi tanggungjawab besar dalam memastikan kepimpinan negara berada di landasan yang betul.
Menurutnya, dalam kegembiraan menyambut Syawal, umat Islam tidak boleh menutup mata terhadap realiti dunia Islam yang kini berdepan kelemahan akibat kepimpinan tidak bermoral, tidak berintegriti serta ketiadaan prinsip yang jelas.
“Situasi itu menyebabkan sesetengah negara Islam mudah dipengaruhi kuasa luar termasuk Amerika Syarikat dan sekutu Israel sehingga dasar negara tidak lagi mencerminkan kepentingan rakyat.
“Lebih malang apabila ada pemimpin sanggup menggadaikan maruah negara demi kepentingan politik dan peribadi, sekali gus melemahkan kedaulatan walaupun negara memiliki kekuatan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata, sejarah telah membuktikan bahawa kepimpinan yang rosak akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa, manakala kedaulatan negara pula terhakis sedikit demi sedikit.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepimpinan amanah dan berprinsip merupakan benteng utama dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Malaysia mesti dipimpin oleh pemimpin yang berani mempertahankan kedaulatan negara, tidak tunduk kepada tekanan luar dan tidak menjual prinsip demi kepentingan sempit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghormatan kepada kepimpinan dan rakyat Iran yang disifatkan teguh menentang tekanan kuasa besar serta kekejaman Zionis.
Katanya, keteguhan tersebut wajar dijadikan contoh oleh dunia Islam dalam mempertahankan maruah dan prinsip kedaulatan.
Beliau turut mengajak umat Islam mendoakan kesejahteraan rakyat Gaza di Palestin yang terus berdepan penindasan berpanjangan.
“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada umat Palestin dan membebaskan bumi suci Baitulmaqdis daripada penjajahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















