Datuk Mohd Haffiz Ahmad

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merampas 14,866 peranti vape dan 3,411 unit perisa vape yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, kesemua rampasan tersebut dibuat susulan serbuan terhadap 47 premis sejak 2024.

“Operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor di bawah peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Sebanyak 47 premis telah diambil tindakan sitaan di bawah Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016.

“Penjual vape ini kebanyakannya berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit. Kita turut mengambil tindakan menarik lesen peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.

Mohd Haffiz berkata, kerajaan negeri masih mengekalkan larangan terhadap penjualan vape atau rokok elektrik dan tidak mengeluarkan sebarang lesen berkaitan di seluruh negeri ini.

Katanya, larangan ini berkuat kuasa sejak 2016 selaras dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan masih terpakai sehingga kini.

MBJB, katanya, akan terus melaksanakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk sitaan premis perniagaan vape.

Tegasnya, tindakan undang-undang akan terus dikuatkuasakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar.- MalaysiaGazette

 

 


 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast