KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberi amaran kedaulatan undang-undang dalam hubungan antarabangsa semakin terhakis dengan keadilan sering diketepikan akibat pengaruh kuasa besar dan penguatkuasaan secara terpilih.
Beliau menegaskan, kedaulatan undang-undang mesti kekal boleh diakses serta dikuatkuasakan secara sejagat kerana integritinya merupakan asas kepada sistem antarabangsa yang adil dan teratur.
Menurutnya, realiti semasa menunjukkan dunia kini berdepan ‘undang-undang rimba’ apabila pihak berkuasa bebas mengabaikan norma demi kepentingan sendiri.
“Terdapat ironi yang mendalam di sini, satu bentuk hipokrasi yang terselindung. Saya akan pergi lebih jauh — satu penyelewengan nilai yang bersifat patologi di mana sebahagian penyokong paling kuat kepada aturan antarabangsa berasaskan peraturan bukan sahaja gagal mematuhinya malah menunjukkan penghinaan nyata terhadapnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel 2026 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Pro-Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Zainun Ali.
Anwar berkata, prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh digunakan secara terpilih atau dijadikan perisai untuk melindungi pihak tertentu daripada pertanggungjawaban sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri.
“Kredibilitinya bergantung pada konsistensi. Kita tidak seharusnya berselindung dalam kata-kata, mengalihkan pandangan atau menutup fikiran kerana inilah realiti yang bakal dihadapi oleh peguam masa depan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan cabaran baharu yang dihadapi profesion perundangan termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti model bahasa besar dan model penaakulan.
Katanya, walaupun penting untuk melihat masa depan pendidikan dan profesion undang-undang, persoalan lebih mendalam mengenai evolusi sistem perundangan tidak boleh diketepikan.
“Memandangkan kita berada di ambang perubahan besar, persidangan ini mesti membuka ruang kepada perbincangan bermakna tentang bagaimana undang-undang perlu berkembang,” ujarnya.
Kenyataan itu hadir ketika ketegangan geopolitik global semakin memuncak khususnya susulan konflik di Asia Barat yang menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan serantau, keselamatan tenaga dan laluan perkapalan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















