BUKIT MERTAJAM – Selepas hampir empat tahun diburu, dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki akibat perebutan kekasih di Kampung Baru di sini, akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.
Tertuduh, Lee Boon Xuan, 39, dan Siow Peir Sheng, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa telah membunuh seorang lelaki, Yap Willy yang ketika itu berusia 35 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai serbaneka di Kampung Baru di sini, jam 7.45 malam pada 14 Mei 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Inspektor Badrul Amin Aziz, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A. Mahesh.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen termasuk laporan kimia.
Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan dihantar ke penjara sementara menunggu prosiding lanjut.
MalaysiaGazette difahamkan kedua-dua tertuduh diberkas pada 20 Mac lalu di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur hampir empat tahun melarikan diri ke Kemboja.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 14 Mei 2022 melaporkan bapa kepada dua anak maut selepas ditetak sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Kampung Baru di sini.
Mangsa berusia 35 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam ketika menerima rawatan susulan mengalami kecederaan pada leher, badan serta kedua-dua tangan dipercayai ditetak suspek menggunakan parang.
Difahamkan, kejadian pukul 8 malam itu berlaku membabitkan empat suspek lelaki dengan mangsa yang dikatakan datang untuk mengadakan perbincangan berkaitan teman wanitanya yang dikatakan masih menjadi kekasih kepada salah seorang suspek. – MalaysiaGazette
















