Kenyataan media Hospital Tunku Azizah berkaitan kes penipuan terhadap PPS.

KUALA LUMPUR – Hospital Tunku Azizah (HTA) mengambil langkah drastik dengan menamatkan perkhidmatan seorang personel MySTEP berhubung penipuan terhadap pegawai perubatan siswazah (PPS) melibatkan kerugian RM47,120.

Pihak hospital dalam kenyataan memaklumkan, individu tersebut turut disekat daripada mengakses sistem serta fasiliti hospital bagi menjamin keselamatan data dan integriti jabatan serta memastikan kebajikan doktor muda dilindungi.

Menurut kenyataan, tiada sebarang kutipan wang tunai atau pindahan ke akaun peribadi kakitangan dibenarkan bagi mana-mana urusan rasmi termasuk bayaran balik emolumen atau yuran kursus.

“Personel MySTEP tersebut juga tidak pernah diberi kuasa berkaitan kewangan oleh pihak HTA.

“Pengurusan hospital memandang serius laporan berita mengenai dakwaan penipuan yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM47,120 kepada kira-kira 190 orang PPS.

“Justeru, HTA telah mengambil langkah drastik dengan menamatkan perkhidmatan personel MySTEP tersebut dan menyekat segala akses beliau ke sistem serta fasiliti hospital.

“Sesi libat urus secara bersemuka bersama PPS yang terkesan juga telah diadakan bagi mendengar aduan mereka selain mengumpul maklumat lengkap transaksi untuk membantu proses siasatan lanjut,” demikian menurut kenyataan itu yang disiarkan menerusi Facebook.

Pengurusan hospital berkata, kes tersebut telah dilaporkan kepada polis dan dan siasatan penuh sedang berlangsung.

Ujarnya, HTA akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

Jelas kenyataan, HTA tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang terlibat dalam salah laku integriti atau sebarang aktiviti jenayah yang menjejaskan kebajikan kakitangan lain serta nama baik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami amat menghargai dedikasi para PPS yang bertugas tanpa mengira masa dan tidak akan sesekali membiarkan integriti hospital dicemarkan oleh tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana individu.

“Kebajikan warga kerja HTA tetap menjadi keutamaan tertinggi kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast