Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib bercakap ketika ditemubual mengenai isu beras di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengambil tindakan segera ke atas isu kenaikan kos input pertanian, terutamanya kos pembajakan yang melonjak susulan pelarasan harga diesel.

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perkara ini memerlukan penyelesaian tuntas dan bukannya sekadar bantuan bersifat ‘one-off’ yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Saya memandang serius rintihan dan kegusaran yang disuarakan oleh komuniti pesawah, khususnya melalui Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia berhubung tekanan kos operasi yang semakin menghimpit golongan pengeluar makanan negara.

“Pada masa ini beberapa perkara perlu diberi penekanan antaranya dengan memperluaskan penggunaan sistem kad fleet kepada semua jenis jentera pertanian padi.

“Penggunaan kad ini amat kritikal bagi memastikan pesawah menikmati harga diesel yang tetap (flat rate), sekaligus melindungi mereka daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia akibat konflik global,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tanpa kestabilan harga bahan api, kos rantaian pengeluaran padi akan terus terdedah kepada inflasi yang melampau.

“Tidak hanya itu, kerajaan perlu menyemak semula kadar insentif bajak padi (IPKP).

“Walaupun kenaikan IPKP daripada RM160 kepada RM300 sehektar dialu-alukan, realitinya jumlah tersebut masih jauh di bawah kos sebenar di lapangan.

“Berdasarkan maklum balas pesawah, kos pembajakan bagi dua pusingan kini mencecah RM1,400 sehektar,” ujarnya.

Jelasnya, dengan insentif sedia ada hanya menampung sekitar 20 peratus daripada kos keseluruhan.

“Saya mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyemak semula kadar ini agar lebih munasabah dengan kos operasi semasa.

“Beban pesawah bukan sekadar pada kos diesel.

“Masalah kualiti benih yang merosot serta serangan perosak yang kian meruncing telah menjejaskan hasil tuaian secara drastik,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Ismi, kerajaan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada subsidi tunai, tetapi perlu memperbaiki ekosistem bekalan benih dan sokongan teknikal bagi memastikan hasil padi kembali stabil.

“Saya menyokong penuh langkah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kini sedang mengumpul data kos pengeluaran padi.

“Namun, kementerian tidak harus menunggu laporan siap untuk bertindak.

“Pegawai tertinggi kementerian juga perlu turun ke bawah, bertemu dengan pesawah di kawasan seperti Parit dan jelapang padi lain untuk mendengar sendiri kemelut yang dihadapi,” katanya.

Katanya lagi, pesawah adalah tunjang kepada keterjaminan makanan negara dan jika kebajikan mereka terus diabaikan dengan bantuan yang tidak mencukupi, dibimbangi sektor penanaman padi akan menjadi semakin tidak berdaya maju, seterusnya mengancam bekalan beras negara dalam jangka masa panjang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast