KUALA LUMPUR – UMNO Selangor mendesak agar tindakan tegas diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negeri serta menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Wakilnya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, institusi diraja wajib dihormati dan dipertahankan.
“Jangan sesekali cuba menguji kesabaran rakyat Selangor dalam isu yang melibatkan maruah sultan dan negeri,” katanya dalam kenyataan.
UMNO Selangor memandang serius tindakan biadab Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang membangkitkan isu ternakan babi secara terbuka sehingga mencetuskan polemik melampau dan mengundang kemarahan rakyat Selangor.
“Kenyataan yang dibangkitkan beliau bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah dilihat telah menghasut serta membuka ruang kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau sehingga sanggup menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan ADUN Seri Kembangan yang gagal memahami sensitiviti rakyat serta terus memainkan isu yang mencetuskan kemarahan awam adalah punca kepada tercetusnya keadaan yang tidak sihat ini.
“Sehubungan itu, saya selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mewakili UMNO Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan terhadap Wong Siew Ki serta individu-individu yang terlibat dalam penyebaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor,” katanya.
Lebih mengejutkan, kata Jamal, telah tular satu gambar yang disunting secara melampau dan biadab dengan memaparkan wajah baginda disamakan dengan wajah babi.
“Tindakan hina sebegini adalah satu penghinaan keterlaluan terhadap institusi diraja Selangor dan tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat yang menjunjung kedaulatan sultan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















