Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir menyantuni jemaah haji yang tiba di Terminal Haji Lapangan Terbang Raja Abdulaziz di Jeddah awal pagi tadi.

JEDDAH – Rakyat Malaysia diminta berhati-hati dengan harga tawaran badal haji yang terlalu murah.

Lantaran itu, Konsul Jeneral Malaysia ke Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir meminta orang ramai menyemak terlebih dahulu tawaran badal haji dengan teliti bagi mengelakkan tertipu.

“Sebab kita sedia maklum bahawa kos untuk menjalankan haji itu sendiri adalah tinggi. Jadi kalau sekiranya tawaran itu terlalu rendah mungkin ada perkara-perkara yang tidak memenuhi rukun ataupun wajib haji,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyambut kumpulan pertama jemaah haji dari Jeddah di TerminaL Haji Lapangan Terbang Raja Abdulaziz di sini.

Jelasnya, pemastautin Makkah juga perlu membayar harga paling rendah antara 9,000 hingga 10,000 riyal untuk mendapatkan permit haji.

“Sekiranya ada sebarang tawaran kurang daripada itu, mungkin ada sedikit perkara yang mungkin tak masuk akal ataupun tak berapa logik,” tambahnya

Dan, mereka hanya boleh melaksanakan haji sekali dalam setiap tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini tiada laporan cubaan melakukan haji tanpa permit dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang Musim Haji 1447H.

“Saya berharap ia kekal sehingga berakhir musim haji,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi sedang membuat penguatkuasaan menjelang musim haji.

“Selain daripada pemeriksaan di checkpoint, mereka pergi juga ke rumah-rumah ataupun hotel-hotel yang berada di Makkah. Mereka akan buat pemeriksaan ke atas setiap penghuni.

“Kalau ada individu tak ada Kad Nusuk bermakna tidak ada permit sah untuk mengerjakan haji dan mereka perlu keluar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast