Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh organisasi serta memperluaskan sokongan masyarakat pelbagai kaum kepada Pas sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua DHPP Pusat, Kumaresan Baby Kalidawson berkata, mandat yang diterimanya dalam Mesyuarat Agung DHPP Pusat baru-baru ini akan digunakan untuk memperkasakan struktur organisasi di semua peringkat.

Menurut beliau, fokus utama DHPP ketika ini adalah memperkukuh gerak kerja peringkat pusat dan kawasan supaya lebih tersusun, responsif serta mampu mendekati rakyat secara lebih efektif.

“Kita mahu memastikan setiap gerak kerja DHPP selari dengan aspirasi parti selain memperkukuh jentera akar umbi di seluruh negara.

“Pada masa sama, DHPP juga akan memperluaskan jaringan dengan menarik lebih ramai ahli baharu daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha pemantapan organisasi itu penting bagi memperkukuhkan sokongan terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Katanya, DHPP bersedia memainkan peranan sebagai jambatan untuk mendekati masyarakat pelbagai kaum sambil menjelaskan agenda yang dibawa PN.

“Kita akan bekerja keras bagi membuktikan bahawa keadilan dan kesejahteraan yang dibawa PN adalah untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kumaresan turut menyeru seluruh pimpinan dan ahli DHPP supaya terus mengutamakan semangat perpaduan serta bergerak sebagai satu pasukan.

Beliau menegaskan, slogan Unity is Our Strength perlu dijadikan pegangan dalam memperkukuhkan perjuangan dan organisasi parti.

“Perpaduan adalah asas kepada kekuatan sesebuah organisasi. Tanpa kesatuan hati, segala perancangan sukar untuk dicapai dengan jayanya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast