KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 29, Jalan Lok Heng -Mawai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku pukul 12.50 tengah hari membabitkan motosikal Yamaha LC135, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dan pikap Nissan Navara.
“Motosikal berkenaan ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun, MPV berkenaan dipandu lelaki tempatan berumur 51 tahun dan pikap dipandu lelaki Vietnam berumur 36 tahun.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal masuk ke laluan bertentangan. Kemudian sebuah kenderaan dari arah bertentangan bergesel dengan motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibatnya motosikal tersebut jatuh ke laluan asal sebelum sebelum sebuah kenderaan lain melanggar motosikal berkenaan.
Katanya, penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah Yusof, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette
















