KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik 10 sen kepada RM4.97 sen seliter bagi tempoh 21 hingga 27 Mei ini.
Harga runcit RON95 turut naik 20 sen kepada RM4.07 seliter, manakala harga RON97 naik 15 sen seliter kepada RM4.70 seliter, bagi tempoh sama.
Bagaimanapun, harga produk petroleum bersubsidi kekal bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kemelut geopolitik di Asia Barat yang berpanjangan memberi tekanan terhadap harga minyak mentah dan produk petroleum global menjadi semakin mendesak.
Katanya, harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$110 setong, hampir 60 peratus lebih tinggi berbanding paras prakonflik sekitar AS$70 setong.
Pada masa yang sama, ujarnya, kos logistik dan premium insurans turut meningkat ketara akibat risiko penghantaran melalui zon konflik, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada harga produk petroleum.
Tambahnya, gangguan bekalan minyak global juga menjadi semakin meruncing apabila konflik terus berlarutan.
Ujarnya, Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia, manakala kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.
“Dalam keadaan pasaran global yang kekal tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.
“Perancangan perjalanan harian juga dapat membantu penggunaan bahan api secara lebih cekap,” katanya. – MalaysiaGazette
















