ISKANDAR PUTERI – Satu sindiket yang menawarkan penipuan pekerjaan antarabangsa secara dalam talian dengan menyasarkan wargan Sepanyol tumpas apabila markas mereka diserbu di Gelang Patah di sini, pada 14 Mei lalu.
Serbuan tersebut dilakukan pukul 11.50 malam di sebuah rumah banglo yang beroperasi sebagai pusat panggilan hasil risikan dan pemantauan polis selama dua minggu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, seramai 35 lelaki warga China berusia antara 21 hingga 39 tahun dipercayai ejen sindiket berkenaan turut ditahan dalam serbuan itu.
“Sindiket menggunakan aplikasi Telegram untuk berkomunikasi dengan mangsa dengan menawarkan pelbagai pakej pekerjaan di negara asal mereka.
“Kita tidak menolak sindiket yang telah beroperasi sejak Februari lalu turut melibatkan rangkaian antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati 33 suspek yang bekerja sebagai ejen manakala dua lagi sebagai tukang masak menerima gaji antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan.
Susulan tangkapan itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan itu dengan nilai anggaran RM65,000.
Turut dirampas, katanya, 35 unit telefon bimbit, 10 komputer riba, 35 komputer dan 12 modem.
Ujarnya, hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Polis kini memburu lelaki warga tempatan iaitu Muhamad Ling Mohd Adam Ling, 25, dengan alamat terakhir di No. 4, Jalan Tai Sing, Lorong 1B, Sarikei, Sarawak bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Kesemua suspek direman sehingga 28 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut, katanya. – MalaysiaGazette
















