Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut selepas dilanggar sebuah kereta di Lebuhraya Utara Selatan, Muar hari ini

MUAR – Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 136 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku pukul 12.36 pagi melibatkan motosikal jenis QJmoto dan sebuah kereta Hyundai Sonata.

“Siasatan mendapati kereta berkenaan yang dipandu individu berusia 30 tahun datang dari arah Johor Bahru menghala ke Tangkak.

“Kereta dipandu kemudian melanggar seorang penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan dipercayai terbabas sendiri terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja sebagai dalam bidang katering mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Menurut Raiz Muhkhliz, pemandu terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.

Jelasnya, ia termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang daripada lima tahun.

Pihaknya meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast