JOHOR BAHRU – Gabungan gerakan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membantah keras dasar pentadbiran universiti itu yang didakwa terus menindas kelangsungan hidup pelajar melalui tindakan saman tidak munasabah dan penguatkuasaan peraturan lapuk.
Jurucakap Liga Mahasiswa UTM, Adam Raiyan berkata, bantahan itu susulan peningkatan aduan mahasiswa mengenai tindakan pihak pengurusan yang menjadikan kompaun kesalahan sebagai medium mengaut keuntungan.
“Tindakan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) wajib bagi setiap pegawai keselamatan untuk mengeluarkan saman adalah satu langkah yang tersasar daripada matlamat asal sebagai medium didikan.
“Saman sepatutnya menjadi langkah didikan, bukannya alat untuk memeras poket pelajar yang sedia terbeban dengan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.
“Bebanan kewangan ini sengaja diburukkan lagi dengan penolakan pihak universiti terhadap pelaksanaan Polisi Kadar Rata (Flat Rate Policy) bagi pembayaran kompaun, selain mengekalkan sistem denda terkumpul yang tidak mempedulikan realiti ekonomi pelajar,” katanya.
Terdahulu sekumpulan mahasiswa UTM mengadakan perhimpunan aman dan Penyerahan Memorandum Bantahan Saman dan Polisi Menindas Mahasiswa kepada pentadbiran universiti itu, di sini hari ini.
Gabungan gerakan Mahasiswa UTM antaranya membabitkan Liga Mahasiswa UTM, Revolusi Penggerak Mahasiswa UTM, Evolusi Mahasiswa UTM, Reformasi Mahasiswa UTM dan Kelab Mahasiswa UMNO UTM.
Mengulas lanjut mengenai sekatan pergerakan, gabungan itu turut kesal dengan pewartaan kawasan Lingkaran Ilmu sebagai zon larangan meletak kenderaan yang disifatkan sebagai ‘perangkap bersistem’ untuk mengeluarkan saman kepada pelajar yang ingin menghadiri kuliah.
Selain itu, katanya, pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam turut dikritik kerana menyukarkan golongan mahasiswa dewasa yang perlu bekerja separuh masa bagi menampung kos pengajian.
“Mahasiswa adalah individu dewasa dan matang yang sudah sah di sisi undang-undang untuk mengundi, bekerja, dan berkahwin. Kehidupan kampus sepatutnya melatih sifat berdikari, bukannya mengongkong pergerakan seperti kanak-kanak.
“Apabila mahasiswa terpaksa pulang lewat dari tempat kerja, atau memerlukan fleksibiliti masa untuk berpersatuan dan membina jaringan, mereka segera dihukum dengan kompaun tata tertib,” katanya.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan mengemukakan tuntutan kepada pihak pengurusan UTM iaitu membatalkan serta-merta penetapan KPI dalam tindakan pemberian saman kepada mahasiswa.
“Selain itu, kami menuntut pihak pengurusan meminda Buku Peraturan Mahasiswa bagi memansuhkan kesemua klausa yang tidak munasabah selain melibatkan penglibatan mahasiswa secara terus dan telus dalam setiap proses pemindaan peraturan universiti.
“Kita turut menegaskan bahawa keselamatan kampus sepatutnya ditangani menerusi sistem pengawasan yang komprehensif, bukannya dengan cara menghukum serta menyekat kebebasan intelektual mahasiswa,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















