Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah kondominium mewah di Forest City, Iskandar Puteri semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita memberi alasan menghantar makanan semasa ditangkap khalwat dengan kekasihnya di sebuah kondominium mewah di Forest City di sini semalam.

Wanita berkenaan mendakwa, mereka yang bekerja di satu tempat sama hanya berbual-bual selepas itu dan tidak berbuat apa-apa.

Namun helah wanita tersebut yang datang ke rumah sewa itu menaiki kereta sendiri pada pukul 10 malam tidak meyakinkan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum diberkas.

JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan cegah maksiat itu dilakukan pukul 1 pagi selepas menerima aduan pasangan terbabit berdua-duaan.

“Penguat kuasa menekan loceng, ketuk pintu dan memanggil dengan kuat. Pintu rumah dibuka lapan minit kemudian oleh seorang wanita yang memakai seluar panjang dan t-shirt lengan panjang.

“Setelah memperkenalkan diri, penguat kuasa masuk ke ruang tamu untuk pemeriksaan lanjut. Seterusnya penguat kuasa memeriksa tiga bilik di rumah itu.

“Penguat kuasa mengetuk pintu bilik utama dan seorang lelaki membuka pintu lima minit kemudian dengan memakai t-shirt dan berseluar panjang,” menurut kenyataan tersebut.

Pemeriksaan mendapati katil berkembur dengan selimut dan cadar bergumpal selain bantal berterabur.

Pasangan berkenaan kelihatan takut dan pucat semasa pemeriksaan kerana tidak menyangka kehadiran penguat kuasa.

Hasil soal siasat, pasangan berkenaan mengaku hanya berdua-duaan, bukan suami isteri dan bukan juga adik beradik tiri.

JAINJ memberitahu, lelaki berumur 20-an, masih bujang dan bekerja sebagai jurutera manakala wanita pula berumur 20-an, atas kertas serta dalam sistem masih anak dara dan kedua-duanya bekerja di Johor Bahru.

“Lelaki dan wanita ini adalah satu tempat kerja tetapi bertugas di unit lain-lain. Mereka berkenalan beberapa bulan lepas, lama kelamaan mereka semakin mesra.”

Jelas JAINJ, rumah itu disewa oleh lelaki dengan harga yang mahal dan duduk seorang diri dan wanita itu kerap datang ke rumah berkenaan kerana dianggap selamat daripada serbuan penguat kuasa.

“Keadaan rumah agak sunyi dan jarang jumpa jiran-jiran. Penyewa atau pemilik lain ramai bangsa dan warga antarabangsa.

“Kalau jumpa jiran pun, mereka serba tak kisah dan tak ambil tahu hal orang lain. Dengan istilah lain, tak perlu campur hal orang lain, sendiri buat sendiri tanggung.”

Ujar kenyataan itu lagi, apabila ditanya adakah berhasrat untuk bernikah, mereka memaklumkan ada tetapi belum bersedia lagi kerana masih baru bekerja.

“Sebelum datang, pasangan ini berbincang dan bertanya, on tak on. Lelaki dan perempuan dua-dua kata on.

“Penguat kuasa JAINJ yang menerima maklumat ini tanya penguat kuasa lain, on ke tak on malam ni. Penguat kuasa lain kata on. Maka bila dua-dua dah kata on, maka operasi lampu suluh pun berjalan dan start enjin van.”

Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.

Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast