Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kolam Air, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kolam Air di sini awal pagi ini.

Kemalangan tersebut yang berlaku berhampiran sebuah stesen minyak mengorbankan Mohd Amirul Afiq Yuslan berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mendapat aduan berkenaan kejadian tersebut pukul 2.20 pagi di kawasan lampu isyarat simpang empat jalan berkenaan.

“Kemalangan melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun bersama-sama seorang penumpang lelaki berusia 34 tahun dengan motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa.

“Dalam kejadian itu motosikal tersebut melanggar lampu merah dan ketika itu pacuan empat roda bergerak kerana sudah lampu hijau,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu pegawai perubatan yang hadir.

Katanya, pemandu dan penumpang pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa katanya, dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi prosedur siasatan.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.

Beliau memberitahu, ia termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.

Pihaknya meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil menyalurkannya ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast