Hairuzam bersama-sama petugas media selepas sesi dialog Pengarah SPRM bersama media di Pejabat SPRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor akan turun padang dalam program Wira Anti Rasuah bagi meningkatkan kesedaran integriti dan bahaya rasuah bermula September ini.

Pengarahnya, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim berkata, sasaran program advokasi anti rasuah itu adalah penduduk pedalaman di kawasan luar bandar termasuk di pulau-pulau.

“Ini bagi memastikan mesej anti rasuah dapat disampaikan secara lebih dekat kepada masyarakat tanpa mengira lokasi dan latar belakang.

“Kita jangka program ini akan melibatkan sekolah di Pulau Tinggi. Kita akan adakan program bersama pihak komuniti di sekitar pulau berkenaan,” katanya selepas sesi dialog Pengarah SPRM bersama media di Pejabat SPRM Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melihat ada komuniti yang agak jauh dan mungkin maklumat berkenaan kesederan rasuah tidak sampai kepada mereka.

“Apabila maklumat tidak sampai, tidak boleh salahkan mereka sekiranya maklumat mengenai antirasuah dan integriti tidak diperoleh.

“Sebab itu kita mahu tumpukan kepada kawasan yang agak jauh supaya mesej berkaitan rasuah dapat disampaikan secara lebih berkesan,” katanya.

Katanya, usaha itu juga bertujuan mendekati penduduk setempat bagi mendapatkan maklumat berkaitan sebarang salah laku, penyelewengan atau kegiatan rasuah di kawasan mereka.

Program libat urus bersama-sama komuniti katanya, mampu membantu SPRM memperoleh maklumat secara terus daripada penduduk setempat selain memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha membanteras rasuah.

Tambahnya, pelbagai program pendidikan dan kesedaran akan terus dipergiat termasuk menerusi kerjasama dengan pemimpin komuniti, sekolah dan agensi kerajaan bagi memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat.

SPRM ujar beliau, turut berharap masyarakat lebih berani tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras rasuah di semua peringkat.

Selain itu beliau turut menggesa peranan media dalam menjadi penghubung bagi menyebar luas peranan dan usaha agensi itu dalam membanteras salah laku rasuah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast