Zakaria (kanan) dan Bahurdin (kiri) berbual dengan Abd Samad ketika melakukan kunjungan ziarah kasih di kediamannya di Kampung Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

TASEK GELUGOR – Di sebalik sambutan Aidiladha yang sinonim dengan erti pengorbanan, bekas pegawai Cawangan Khas Pulau Pinang, Asisten Superitenden (ASP) Abd Samad Kasan menganggap kehilangan sebelah kaki dalam kemalangan ngeri tahun lalu sebagai ujian hidup yang mengajarnya untuk terus kuat melangkah.

Pesara berusia 68 tahun itu tidak pernah menjadikan kecacatan dialami sebagai alasan untuk menyerah kalah, sebaliknya bangkit meneruskan kehidupan hanya 26 hari selepas kaki kirinya dipotong akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Selamat, dekat sini pada 19 Ogos 2025.

Abd Samad berkata, pengalaman lebih tiga dekad dalam pasukan polis banyak membentuk dirinya menjadi seorang yang cekal dan tidak mudah mengalah apabila diuji dengan kehilangan anggota badan.

“Saya tak fikir sangat pasal kaki hilang sebab hidup kena terus jalan. Kalau terlalu fikir apa yang sudah berlaku, kita sendiri akan susah untuk bangkit.

Abd Samad mula berkhidmat dalam PDRM bermula tahun 1981.

“Alhamdulillah, saya masih diberi peluang hidup dan itu lebih penting,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nyior Sebatang di sini.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memulakan kerjaya dalam pasukan polis pada 1981 sebelum menyertai Cawangan Khas pada 1996 dan bersara dengan pangkat ASP pada 2016.

Menurutnya, walaupun tidak pernah berasa putus asa dengan keadaan dialami, beliau mengakui hanya berdepan sedikit trauma untuk melalui laluan lokasi kemalangan dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kejadian.

“Memang tiga bulan awal saya elak lalu jalan tempat kemalangan sebab bila nampak kawasan itu, kejadian hari tersebut terus terbayang.

“Tetapi lama-kelamaan saya cuba lawan perasaan itu dan sekarang saya sudah boleh lalu seperti biasa,” katanya.

Abd Samad berkata, beliau kini meneruskan kehidupan bersama isteri, anak perempuan berusia 12 tahun serta ibu mentuanya selain masih mampu memandu kereta dan bergerak sendiri.

“Sokongan keluarga dan ingatan daripada bekas rakan sepasukan banyak membantu saya kekal bersemangat untuk menjalani kehidupan baharu sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, saya juga terharu sebab walaupun dah pencen lama, pasukan PDRM, kenalan luar masih ingat dan datang ziarah saya,” katanya.

Zakaria turut menyampaikan sumbangan daripada Polis Pulau Pinang kepada Abd Samad.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan ziarah kasih daripada Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zakaria A. Rahim yang mewakili Ketua Polis Pulau Pinang bersama Pengerusi Yayasan Kalsom Bivi, Datuk Bahurdin Abdul Kader yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai.

Sementara itu, Zakaria berkata, kebajikan bekas anggota pasukan polis sentiasa diberi perhatian walaupun mereka sudah bersara daripada perkhidmatan.

Menurutnya, jasa serta pengorbanan pesara polis tetap dikenang tanpa mengira sama ada mereka menyertai Persatuan Bekas Polis Malaysia (Respa) atau sebaliknya.

“Kita tetap ambil berat dan prihatin terhadap bekas anggota pasukan kerana mereka banyak berjasa ketika masih berkhidmat dahulu.

“Kita juga amat mengalu-alukan persatuan atau yayasan yang tampil membantu meringankan beban pesara polis,” katanya.

Bahurdin menyampaikan sumbangan kepada Abd Samad.

Sementara itu, Bahurdin berkata, beliau amat terkejut apabila menerima khabar mengenai kemalangan menimpa Abd Samad daripada isteri mangsa, Suraini Bidin, 54, memandangkan mereka sudah saling mengenali sejak lebih dua dekad lalu.

Menurutnya, beliau mengenali Abd Samad sebagai seorang bekas anggota pasukan yang sentiasa berdisiplin dan kuat semangat sepanjang perkenalan mereka.

“Bila dimaklumkan dia hilang kaki akibat kemalangan, memang saya terkejut dan sedih kerana kami sudah lama kenal.

“Atas keprihatinan terhadap nasib menimpa Abd Samad, Yayasan Kalsom Bivi tampil menghulurkan bantuan wang tunai dan kerusi roda bagi membantu memudahkan urusan harian bekas pegawai polis ini.

“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban selain memberi semangat kepada beliau untuk terus menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast