JOHOR BAHRU – Sepasang bakal pengantin memberi alasan takut terlewat pergi kursus kahwin semasa ditangkap khalwat di sebuah hotel di Senai, dekat sini semalam.
Mereka yang sama-sama bekerja di Kulai memberi alasan itu semasa dicekup pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat pukul 1 pagi.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, pasangan tersebut diberkas semasa penguat kuasa membuat pemeriksaan berkala dan rambang di hotel tersebut.
“Penguat kuasa ketuk bilik dengan kuat sambil beri salam. Pintu bilik dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai tuala dan berlenggeng.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk pemeriksaan lanjut,” maklum kenyataan berkenaan.
Penguat kuasa mendapati keadaan bilik gelap dan setelah lampu dibuka kesemuanya, ditemui seorang wanita sedang baring di katil sambil berselimut.
Pemeriksaan penguat kuasa wanita mendapati wanita itu langsung tidak berpakaian sebelum diminta bangun dan masuk ke tandas untuk memakai pakaian lengkap.
Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan katil tidak kemas dan sehelai lagi tuala basah.
Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri.
“Lelaki ini berumur 30-an, masih bujang dan bekerja di Kulai. Wanita pula berumur 20-an, dalam sistem masih anak dara dan sama tempat kerja dengan lelaki.
“Apabila ditanya kenapa mereka berdua berada dalam bilik hotel ini, mereka kata sebagai persediaan pagi esok hendak pergi kursus kawin di Larkin.”
Hasil semakan JAINJ memang benar pasangan itu sudah mendaftar untuk pergi kursus perkahwinan esok harinya.
“Mereka juga sudah merancang untuk bernikah hujung tahun ini. Pemeriksaan dalam almari menemui baju Melayu lelaki dan baju kurung wanita untuk dipakai esok hari. Apabila ditanya mana songkok, lelaki kata, dalam kereta.”
Menurut kenyataan itu, rumah lelaki dan wanita terletak dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari hotel manakala jarak hotel itu dengan tempat kursus di Larkin, sekitar 20 km.
“Penguat kuasa bertanya, kenapa perlu tidur hotel sebab rumah tak berapa jauh. Mereka kata takut terlewat dan terlajak bangun tidur,” tambah JAINJ.
Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.
Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette
















