JOHOR BAHRU – Trend vape bercampur bahan sintetik kini menular dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja malah perkembangannya semakin membimbangkan.
Timbalan Ketua Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, ia kerana penggunaan bahan halusinogenik serta dadah sintetik melalui peranti vape mudah diperoleh melalui rangkaian tertentu dan promosi media sosial.
“Situasi ini menuntut tindakan pantas sebelum budaya ketagihan baharu ini menjadi wabak sosial yang meruntuhkan masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas, menyeluruh dan segera melalui beberapa langkah konkrit.
Katanya, pertama dengan mempercepatkan dasar pengharaman penuh vape atau memperketatkan kawalan secara drastik sebelum ancaman ini menjadi tidak terkawal.
Kedua, memperhebat operasi bersepadu melibatkan pihak polis, kastam, Kementerian Kesihatan dan agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras rangkaian pengedaran vape bercampur dadah sehingga ke akar umbi.
“Ketiga, memperluaskan pendidikan awam secara agresif melibatkan ibu bapa, guru, institusi pendidikan, surau, masjid dan komuniti setempat supaya masyarakat memahami tanda-tanda awal ketagihan, risiko kesihatan mental serta bahaya maut penggunaan vape bercampur fentanyl.
“Keempat, kerajaan perlu melaksanakan kempen penerangan nasional yang jelas, konsisten dan mudah difahami melalui media arus perdana serta platform digital supaya golongan muda tidak terus menjadi mangsa sindiket keuntungan haram,” katanya.

Pejuang Johor bimbang penularan penggunaan cecair vape dicampur bahan dadah sintetik berbahaya seperti furanyl fentanyl, satu ancaman kesihatan awam yang kini semakin serius penggunaannya.
“Bahan ini bukan sekadar isu penyalahgunaan dadah biasa, malah merupakan ancaman keselamatan sosial dan masa depan generasi muda yang boleh merosakkan kehidupan dalam tempoh yang amat singkat,” ujarnya.
Menurutnya, polis baru-baru ini mengesahkan rampasan besar-besaran melibatkan hampir 19.67 kilogram bahan berkaitan vape bercampur dadah dengan nilai keseluruhan RM4.6 juta menerusi operasi nasional, sekali gus membuktikan ancaman ini bukan lagi teori tetapi realiti yang sedang menular dalam masyarakat.
“Fentanyl dan derivatifnya seperti furanyl fentanyl merupakan opioid sintetik yang sangat berbahaya, dianggarkan mempunyai kesan sehingga 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin, malah sejumlah kecil sahaja berpotensi membawa maut akibat kegagalan pernafasan dan overdosis,” tambahnya.
Pendedahan bahan itu katanya, dalam bentuk vape menjadikan ancaman lebih membimbangkan kerana mudah disalah anggap sebagai produk biasa serta sukar dikesan oleh ibu bapa dan pihak sekolah.
Fenomena itu dakwanya turut digelar sebagai ‘vape zombi’ kerana kesan penggunaannya boleh menyebabkan perubahan tingkah laku melampau, halusinasi, kemurungan, ketidakstabilan emosi serta kehilangan kawalan diri.
Pejuang Johor ingin menegaskan bahawa isu fentanyl dalam vape bukan sekadar isu kesihatan tetapi ancaman serius terhadap keselamatan negara, institusi keluarga dan masa depan generasi pewaris bangsa.asaan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette
















