Dr. Roland Victor

KUALA LUMPUR – Keletihan berpanjangan, kurang bertenaga dan perubahan mood walaupun sudah mengamalkan pemakanan sihat serta mendapat tidur mencukupi mungkin berpunca daripada kekurangan vitamin D yang sering tidak disedari ramai.

Pemilik dan Pengasas The KL Sky Clinic, Dr Roland Victor mendedahkan, gaya hidup moden menyebabkan ramai individu kurang mendapat pendedahan kepada cahaya matahari yang sebenarnya meningkatkan risiko kekurangan vitamin penting itu.

Menurut beliau, ramai yang keluar bekerja pada awal pagi, menghabiskan sebahagian besar masa di dalam bangunan berhawa dingin dan hanya pulang apabila matahari hampir terbenam.

“Ramai pesakit datang dengan aduan mudah letih, kurang tenaga, mood tidak menentu dan merasakan badan tidak berfungsi pada tahap terbaik walaupun mereka sudah menjaga pemakanan, mengurangkan pengambilan gula dan minum air secukupnya.

“Dalam banyak kes, antara perkara yang sering terlepas pandang ialah kekurangan vitamin D akibat kurang mendapat pendedahan cahaya matahari,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook beliau.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai individu tidak memperoleh vitamin D yang mencukupi bagi membantu tubuh berfungsi pada tahap optimum.

Beliau berkata, vitamin D memainkan peranan penting dalam membantu badan menyerap kalsium, namun pengambilan kalsium semata-mata tidak mencukupi untuk memastikan kesihatan tulang dan tubuh berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, vitamin K2 pula bertindak membantu memastikan kalsium yang diserap disalurkan ke bahagian yang memerlukannya seperti tulang dan gigi.

“Vitamin D3 membantu badan menyerap kalsium, tetapi vitamin K2 membantu memastikan kalsium itu sampai ke tempat yang sepatutnya.

“Sebab itu saya lebih menggalakkan pengambilan kombinasi D3 dan K2 berbanding vitamin D secara bersendirian kerana kedua-duanya saling melengkapi,” ujarnya.

Roland berkata, kombinasi kedua-dua nutrien tersebut semakin mendapat perhatian kerana peranannya dalam menyokong kesihatan tulang, fungsi otot dan sistem imun.

Katanya, memastikan tubuh mendapat nutrien yang diperlukan merupakan antara langkah penting dalam mengekalkan tahap kesihatan yang baik untuk jangka panjang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast