Seorang penuntut Madrasah Ibnu Yazid maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Senangar-Pagoh, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seorang penuntut Madrasah Ibnu Yazid maut selepas terlibat kemalangan di Jalan Kangkar Senangar-Pagoh, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kemalangan tersebut berlaku pukul 8.30 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah lori dari arah Parit Sulong, Batu Pahat dan sedang menghala ke arah Pagoh, Muar.

“Apabila tiba di tempat kejadian iaitu semasa di laluannya, tiba-tiba sebuah motosikal dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sehingga termasuk ke laluan yang sedang dilalui lori dipandunya dan menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang, Muhammad Arif Selamat iaitu lelaki tempatan berumur 19 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah kaki kanan serta beberapa organ dalaman.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Parit Sulong di sini yang hadir di lokasi.

Sementara pemandu lori tersebut, seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia ialah merupakan penuntut Madrasah Ibnu Yazid, Simpang Lima, Parit Sulong di sini dan beralamat di Felda Batu 27 Lenga, Muar,” katanya.

Menurut beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast