JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial Hospital Segamat bakal ditutup sepenuhnya pada 1 Julai ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Mohtar Pungut@Ahmad berkata, Hospital Segamat masih beroperasi seperti biasa dan tiada penutupan atau perberhentian operasi sebagaimana yang didakwa.
Pihaknya juga maklum dengan dakwaan tular berkenaan surat penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas ke hospital itu pada tarikh 3 Jun 2026.
“Pada masa ini, JKNJ sedang meneliti dan memuktamadkan pengaturan perkhidmatan di Jabatan O&G Hospital Segamat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan berterusan kepada masyarakat.
“Status terkini serta perancangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, JKNJ komited untuk memastikan sebarang langkah penyusunan semula perkhidmatan dan pengoptimuman sumber manusia dilaksanakan secara terancang.
Jelasnya, ini bagi menjamin kelangsungan operasi serta kesinambungan rawatan dan perkhidmatan kepada pesakit.
Terdahulu tular dalam media sosial memaklumkan Hospital Segamat akan ditutup sepenuhnya pada tarikh tersebut.
Dakwaan yang tular itu juga memberitahu Hospital Segamat tidak akan terima refferal dari mana-mana klinik bermula bulan ini yang disebabkan tidak cukup kakitangan.- MalaysiaGazette
















