BUTTERWORTH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap kenalannya menggunakan sebilah parang yang mengakibatkan mangsa berisiko mengalami kecacatan kekal, pada Mei lalu.
Tertuduh, J. Tanabalan, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Noor Aziman Mohd Sukri, 29, menggunakan sebilah parang berukuran kira-kira 70 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok C Flat Ampang Jajar di sini, jam 4 pagi pada 25 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau memohon agar syarat tambahan dikenakan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan kes.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibenarkan diikat jamin dengan alasan perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah selain bekerja sebagai buruh, manakala isterinya merupakan seorang pekerja kilang.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan penyerahan laporan perubatan.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, lelaki yang mempunyai 25 rekod jenayah dan dadah itu menyerang mangsa menggunakan parang menyebabkan dia mengalami kecederaan serius termasuk luka terbuka dan patah kedua-dua tangan, kecederaan pada kaki kanan, kecederaan serta retak kepala selain berisiko mengalami kecacatan kekal.
Difahamkan punca serangan disebabkan salah faham antara tertuduh dan mangsa berkaitan aktiviti pengedaran dadah. – MalaysiaGazette
















