Seorang lelaki Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik.

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang juruteknik di sebuah pangsapuri di bandar raya ini, bulan lalu.

Tertuduh, Fajar Ali, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohammad Sallehen Mohd Safri, 33, di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato Sulaiman di sini pukul 7 pagi pada 12 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September ini untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 14 Mei lalu portal ini melaporkan seorang juruteknik ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam di sebuah rumah pangsapuri di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditemui terbaring dalam kediaman berkenaan pukul 10.50 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati sebilah pisau turut ditemukan di sisi mangsa yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Difahamkan mangsa dan tertuduh baru berkenalan, kejadian itu diketahui rakan mangsa selepas Mohammad Sallehen tidak datang ke tempat kerja selama dua hari. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast