JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri tidak dapat melupakan detik ngeri melihat dua kanak-kanak jatuh dari bangunan pangsapuri di Tampoi di sini semalam.
Menerusi hantaran dalam Threads, pemilik akaun yang mengggunakan nama Irainany berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi.
“Ketika kejadian saya bersama-sama suami dan anak serta pekerja pembersihan berada di tingkat tujuh berhampiran sebuah kolam renang.
“Saya dan suami menjadi saksi kejadian, ketika itu kami baharu buka paip tepi kolam mahu basahkan badan sebelum mandi kolam, sekali terdengar bunyi hentakan yang kuat.
“Saya dan suami terkilan melihat ada kanak-kanak perempuan yang jatuh. Tak boleh lupa betapa cemasnya kami masa tu, lepas itu ramai jiran yang ke lokasi.
“Sampai kini saya masih trauma teringat kejadian,” kongsinya dalam media sosial tersebut.
Ketika itu, katanya, dia, suami serta beberapa individu lain buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan setelah melihat keadaan mangsa.
Tambahnya, selang seminit kemudian, mereka terdengar pula bunyi kuat dan mendapati terdapat seorang budak lelaki pula yang jatuh.
“Suami kemudian menghubungi ambulans dan meminta bantuan jiran-jiran lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dan akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.
Terdahulu tular foto di pangsapuri tersebut yang dikatakan lokasi dua kanak-kanak tersebut terjatuh dari bangunan.- MalaysiaGazette
















