KOTA TINGGI – Seorang nelayan terkejut semasa menarik pukat yang dipasangnya di perairan Sedili di sini Sabtu lalu apabila tengkorak manusia tersangkut yang pada mulanya disangkanya ikan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan tengkorak itu pukul 8.10 malam, Ahad lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati tengkorak manusia itu ditemui tersangkut pada pukat ikan kira-kira pukul 3 pagi, Sabtu lalu di Perairan Sedili sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Susulan penemuan berkenaan, seorang tekong bot tempatan berusia 44 tahun yang menemukan tengkorak tersebut telah dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tengkorak tersebut kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi tujuan pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Forensik HKT, Dr Zubair Abdul Razak mengesahkan tengkorak berkenaan dipercayai milik seorang lelaki dewasa.
“Pakar menganggarkan usia mangsa adalah dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Orang ramai yang mempunyai kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar segera tampil membantu siasatan polis,” katanya.
Tambah beliau, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Kuala Sedili, Sarjan Mejar Mohammad Aizat Ahmad 018-2464667 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















