KULAI – Seorang pegawai pemasaran sebuah kilang rugi RM343,190 selepas terpedaya dengan pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan tinggi hanya dalam tempoh 24 jam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu seorang wanita berusia 46 tahun tertarik dengan iklan tawaran tersebut pada hujung tahun lalu.
“Dia yang bekerja sebagai pegawai pemasaran kilang pembekal telur di Senai ditawarkan keuntungan sehingga 30 peratus dalam tempoh 24 jam menerusi akaun aplikasi Shugoa Investment miliknya.
“Tertarik dengan keuntungan ditawarkan, mangsa kemudiannya membuat 13 transaksi berjumlah RM343,190 kedalam 10 akaun bank tempatan bermula 14 September tahun lalu hingga 18 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian mendapati mendapat keuntungan berjumlah RM1,500,000 sebelum berhasrat untuk mengeluarkannya namun terkejut apabila mendapati akaun aplikasi Shugoa Investment miliknya disekat.
Mangsa katanya, menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam.
Menurut beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan (KK) kerana menipu.,- MalaysiaGazette
















