Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM) menyuarakan kebimbangan terhadap trend penggunaan vape yang semakin meluas kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah yang lebih sukar dikesan.

Pengarahnya, Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman berkata, industri vape berkembang dengan pantas sejak memasuki pasaran tempatan sehingga jauh mendahului mekanisme kawalan yang dibangunkan kerajaan.

Menurutnya, vape yang pada awalnya diperkenalkan melalui sistem terbuka kini berevolusi kepada sistem tertutup dan vape pakai buang yang lebih praktikal, murah serta mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan remaja.

“Perubahan bukan sahaja berlaku pada peranti malah turut melibatkan kandungan nikotin yang kini hadir dalam bentuk garam nikotin (nicotine salt) dan nikotin sintetik yang menjadikan pengesanan serta jangkaan kesan toksiknya semakin rumit.

“Pada masa sama, vape kini tidak lagi sekadar digunakan untuk nikotin sebaliknya semakin jelas disalahgunakan sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang termasuk kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keupayaan makmal untuk menyaring dan mengesahkan kehadiran bahan terlarang dalam vape masih terhad serta memerlukan kos yang tinggi, sekali gus menjadikan usaha pengesanan semakin mencabar.

Katanya, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia meningkat daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022, sekali gus menunjukkan semakin ramai golongan muda terdedah kepada nikotin dan risiko ketagihan.

“Data kes keracunan berkaitan vape yang diterima PRN pula tidak menggambarkan situasi sebenar kerana ia hanya berdasarkan panggilan yang diterima bagi tujuan pengurusan kes keracunan dan bukannya pangkalan data nasional pelaporan kes vape.

“Situasi ini boleh diibaratkan seperti bom jangka yang menunggu masa untuk mencetuskan impak kesihatan awam yang lebih besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PRN menyokong usaha Kementerian Kesihatan serta gesaan Polis Diraja Malaysia untuk mempertimbangkan langkah pengharaman vape demi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat khususnya generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast