Lelaki yang memandu kereta Mercedes Benz dibawa ke Mahkamah Majistret Muar untuk mendapatkan sambungan perintah tahanan reman. - Gambar fail

KLUANG – Seorang pelajar universiti Singapura yang berlumba hingga meragut nyawa empat sekeluarga dan abangnya di Jalan Renggam-Simpang Renggam di sini minggu lalu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Suspek berusia 19 tahun itu yang dilanjutkan dua hari pada Isnin lalu sudah berakhir semalam dibebaskan sementara menunggu didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tindakan itu selepas  pihaknya menerima arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk memberi jaminan terhadap suspek sehingga siasatan lengkap dijalankan.

Suspek direman sejak 2 Jun lalu sebelum reman disambung mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun sebaik tempoh reman lanjutan berakhir, polis menahan semula suspek pada Khamis lalu dan direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek adalah pemandu Mercedes Benz A250 manakala abangnya berusia 22 tahun memandu BMW 530e yang didapati memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan berlaku kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga.

Mereka yang maut dalam nahas terbabit ialah Semek Mat Soh, 73, anaknya Nor Azlina Abd Latip, 33, dan menantunya, Aiman Mohd Rashid, 36, serta anak saudara Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Abang suspek turut maut dalam nahas yang membabitkan lima kenderaan.

Lelaki itu maut ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast