BATU PAHAT – Seorang warga emas direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini bermula semalam selepas cucunya yang berusia 13 tahun mendakwa menjadi mangsa rogol pesara tersebut sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Polis sudah menahan suspek serta reman hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Perintah reman ke atas suspek berusia 67 tahun itu dibenarkan Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, polis menerima laporan mengenai kejadian itu dua hari lalu selepas mangsa menceritakan insiden tersebut kepada ibunya.
Siasatan awal mendapati, mangsa tinggal bersama-sama datuknya di sebuah rumah di daerah ini selepas ibu bapanya bercerai.
Bagaimanapun, pada April lalu, ibu mangsa membawanya pulang ke sebuah negeri di utara tanah air.
Kejadian itu terbongkar selepas ibunya menyedari mangsa menghantar mesej kepada seorang kenalan.
Pada mulanya, mangsa tidak menceritakan namun selepas didesak akhirnya dia memberitahu dirogol datuk sendiri.
Daripada maklumat awal, kejadian berlaku sepanjang tahun lalu dan kali terakhir Disember lalu.
Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.
Terdahulu tular di media sosial video seorang wanita tidak dapat menahan kemarahan dan menjerit terhadap seorang lelaki warga emas yang mengaku merogol cucunya di sebuah rumah di daerah ini sejak tahun lalu.
Pengakuan itu menyebabkan wanita dipercayai ibu mangsa meraung sambil menyebut ‘Allahuakbar’ selepas anak perempuannya berusia 13 tahun mendedahkan kejadian itu kepadanya beberapa hari lalu.
Melalui video berdurasi 1:04 saat itu, suspek mengakui melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap cucunya.
“Ada juga buat,” demikian pengakuan warga emas dalam satu video tersebut yang tular selepas ditanya oleh anaknya.
Menerusi video itu juga, suspek meminta ahli keluarga membuat laporan selepas mengaku melakukan perbuatan keji terhadap cucu kandungnya. – MalaysiaGazette
















