KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menahan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu di beberapa lokasi sekitar Pulau Langkawi bermula 9.40 pagi semalam.
Operasi yang dilaksanakan di bawah Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu itu turut melakukan pemeriksaan terhadap 54 individu yang terdiri daripada warga tempatan dan asing selain turut memeriksa lapan premis melibatkan pelbagai sektor perniagaan dan pekerjaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIM Kedah hari ini, kesemua yang ditahan berumur antara 19 hingga 35 tahun di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Penahanan melibatkan sembilan lelaki dan lapan wanita yang terdiri daripada enam lelaki Thailand, 10 Myanmar (dua lelaki dan lapan wanita) serta seorang lelaki Pakistan.
“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan kesalahan Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, dalam operasi yang sama, satu Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Langkawi untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah akan terus memperhebatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan, berfokus dan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.
“JIM menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan menyeru orang ramai untuk terus melaporkan kehadiran PATI serta sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Imigresen bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















