TEO Nie Ching (tengah) pada Persidangan Antarabangsa Perhubungan Awam Kuala Lumpur ke-8 (KLIP).

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkukuh tadbir urus digital, akauntabiliti platform serta keselamatan dalam talian bagi menghadapi cabaran era kecerdasan buatan (AI) serta penyebaran maklumat tidak sahih.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia bagi memastikan tanggungjawab pengguna dan platform dalam talian terus terjaga serta keseluruhan aspek terus kekal terpelihara.

“Teknologi itu bukanlah menjadi masalah tetapi risiko yang timbul apabila sistem yang berkuasa beroperasi tanpa ketelusan dan garis panduan etika yang sewajarnya.

“Sehubungan itu, kerajaan kekal komited memperkukuh keselamatan dalam talian, meningkatkan literasi digital serta melabur dalam keupayaan AI berdaulat yang memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Antarabangsa Perhubungan Awam Kuala Lumpur ke-8 (KLIP) di sini hari ini.

Kata Nie Ching, masa depan digital Malaysia mesti dibina berasaskan kepercayaan, kepercayaan terhadap maklumat dan platform serta keyakinan bahawa teknologi berfungsi untuk manfaat rakyat bukan memudaratkan mereka.

Persidangan yang bertemakan Zero Hour: The Trust Crisis-PR in an AI-Driven World memberi tumpuan kepada usaha membina semula kepercayaan dalam cabaran penyebaran maklumat palsu, manipulasi digital dan perubahan teknologi yang pesat.

Dianjurkan oleh World Communications, KLIP 8 menghimpunkan lebih 300 peserta dari Malaysia, ASEAN dan seluruh dunia mewakili syarikat multinasional, kementerian, organisasi media serta persatuan perhubungan awam serantau.

Sementara itu, Pengarah Urusan World Communication, Jaffri Amin Osman berkata, komunikasi yang dipacu AI, pengurusan isu secara ramalan serta tindak balas krisis masa nyata kini mengubah landskap industri perhubungan awam.

“KLIP diwujudkan bagi membantu pengamal industri menyesuaikan diri dengan realiti baharu ini dengan lebih jelas dan yakin. 

“Ketika Malaysia dan ASEAN melangkah ke era yang dipacu AI, pemimpin komunikasi perlu berkembang daripada sekadar pencerita kepada penasihat strategik yang membimbing organisasi berlandaskan wawasan, integriti dan matlamat yang jelas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast