JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan tidak sewajarnya mencampuri urusan di Negeri Sembilan yang membabitkan isu pertikaian Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Datuk Mohd Ridhwan Othman berkata, semua urusan tersebut perlu diselesaikan pihak Undang Yang Empat dan mengikut undang-undang tubuh negeri tersebut.
“Negeri Sembilan bukan negeri bersultan biasa. Dalam adat dan perlembagaan negeri, Undang Yang Empat ada peranan besar dalam institusi pemerintahan negeri.
“Kalau kuasa Undang Yang Empat boleh diketepikan begitu saja, maka apa lagi makna sistem adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang dilangsungkan di sebuah resort di Melaka pada 5 Jun lalu.
Pertabalan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Pada hari yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf dan akan terus berkhidmat kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri berkata, pendirian rasmi kerajaan itu dibuat mengikut saluran perundangan dan Perlembagaan biarpun terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, menggantikan Tuanku Muhriz.
Kelmarin, pemasyhuran Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 Jumaat lalu didakwa sebagai tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali menegaskan, gelaran yang dikatakan cuba diambil Tunku Nadzaruddin tidak berkuat kuasa.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, persoalanya kini adalah siapa sebenarnya pemerintah yang sah mengikut perlembagaan negeri.
“Sama ada yang ditentukan oleh sistem Negeri Sembilan sendiri atau yang dipilih untuk diiktiraf oleh Putrajaya,” soalnya.
Beliau melontarkan persoalan sama ada Perdana Menteri mengiktiraf Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan kuasa Undang Yang Empat berkenaan.
“Atau kerajaan Pusat mahu pilih sendiri siapa yang hendak diiktiraf, walaupun sistem Negeri Sembilan memang unik dan tidak sama seperti negeri lain,” soalnya lagi. – MalaysiaGazette

















Dah malas nak komen,kalo nak bongkar semua hanat Anwar dan PH,rakyat melayu PAS,UMNO dan lain² parti kecil melayu kena muafakat ,tambah undi melayu dan kawasan..
Lepas tumbang rejim Anwar PH,baru bleh terbongkar semua.